Anak-anak

6 Tips Untuk Buat Anak Dengar Kata Tanpa Perlu Jerit-jerit

Macam mana nak buat anak dengar cakap tanpa perlu ibu ayah jerit-jerit?

Zaman sekarang, Syu rasa lebih mencabar nak didik anak-anak tanpa perlu jerit-jerit nie. Kalau dulu, mak ayah kita cakap kuat sikit je, kita dah mula takut dan tak berani nak melawan. Sekarang nie, anak-anak kita dah makin bijak, kita marah sikit, pandai nak melawan semula sebab mereka mempunyai pendapat mereka sendiri, betul tak? Last-last, kita pun menjerit sekali. So, macam mana kita nak buat anak kita dengar cakap kita tanpa perlu kita melenting macam tarzan kat rumah tu?

Syu faham, ibu ayah sekarang kerja hingga petang, balik dah penat. Kita akan jadi kurang sabar bila kita penat dan benda tak ikut apa yang kita mahukan. Last-last, anak jadi mangsa kena marah, sebab kita nak anak buat apa yang kita suruh, tapi mereka tak nak dengar.

Pada Syu, itu normal sebenarnya. Tapi, kita perlu cari cara untuk kita kawal marah kita tu sebab ia akan memberi kesan mendalam pada perkembangan dan pembesaran anak-anak kita nanti.

Kesan Anak Yang Asyik Dimarahi

Antara kesan negatif yang boleh berlaku pada anak kita ialah:

1. Penakut

Apabila kita kerap marah bila anak kita tak buat apa yang kita suruh, lama-lama anak kita akan jadi penakut. Dia takut apa yang dia buat semua tak betul. Dia takkan buat apa-apa yang dia mahu bila dah takut.

2. Lemah pendirian

Bila anak kita tak sependapat dengan kita dan kita pun marah-marah anak sebab tu, anak boleh jadi lemah pendirian sebab kita tak hormat pendapat dia. Kita nak anak kita ikut je cakap kita tanpa mengambil kira apa yang mereka mahukan.

Kalau kita selalu buat anak kita begitu, anak kita takkan beritahu pandangan mereka sebab takut kena marah dan takut dikritik.

3. Tak boleh buat keputusan

Sebab kita selalu marah anak, anak kita takkan berani nak buat keputusan sendiri. Mereka takut yang kita akan marah dan tak terima keputusan yang dibuat. Kalau kita tanya pendapat pun, mereka akan diam je.

4. Memberontak

Anak yang selalu kena marah akan kerap memberontak sebab mereka tak didengari dan selalu dipersalahkan. Mereka juga akan selalu bergaduh dengan adik beradik yang lain sebab mereka nak lepaskan perasaan mereka. Kita yang pening nanti.

5. Pendiam

Anak yang selalu kena marah nie akhirnya akan jadi pendiam. Sebab mereka takut kalau mereka buka mulut je, mereka akan kena marah. So, last-last mereka tak nak buka mulut langsung. Takut nanti, anak kita mula cari orang lain yang dia selesa untuk bercerita. Masa tu mesti kita akan penat cuba nak buat anak kita bercakap.

.

Syu perasan anak-anak Syu memang susah nak dengar cakap bila Syu tinggi suara, terutama Ahmad Zuhayr. Mungkin sebab Zuhayr dah besar kot, dah 8 tahun pun. Tapi, kalau Syu cakap baik-baik, senang je Zuhayr dengar dan ikut. Jadi, Syu perlu cara lain untuk buat Zuhayr dengar cakap Syu.

Kita sebagai mak ayah lah yang perlu kreatif apabila berkomunikasi dengan anak. Sentiasa tanamkan dalam fikiran kita yang anak kita masih belajar dan masih belum cukup waras untuk berperangai macam orang dewasa.

Jadi, apa yang kita perlu buat untuk elak dari memarahi anak?

1. Tarik nafas dalam-dalam

Apabila anak melakukan kesalahan, ataupun tidak mengikut apa yang kita suruh, tarik nafas dalam-dalam. Buatlah dalam 3 kali ataupun sehingga kita tenang dan boleh bercakap dengan nada suara biasa.

2. Senyum

Lepas dah tarik nafas tu, senyum je dengan apa yang berlaku. Kalau air tumpah, senyum je. Kalau anak conteng dinding, senyum je.

Tahu tak, senyum nie boleh buat kita tenteram dan tenang tau. Tak percaya, cuba buat.

3. Panggil anak datang dekat

Sebelum kita nak mula cakap apa-apa dengan anak, panggil dulu anak kita datang dekat. Kalau kita marah-marah dan anak kita pun jauh je dari kita, percayalah anak kita tak dengar pun apa yang kita cakap tu. Macam kita cakap dengan dinding je. Kan penat macam tu?

4. Pandang mata

Bila anak dah ada depan mata kita, pandang mata anak. Pastikan mata kita setentang dengan mata anak. Jangan sesekali kita pandang anak masa kita berdiri. Anak akan takut.

Bila mata kita pandang anak kita, tunjukkanlah yang kita bukan marah pun. Tunjukkan kasih sayang dari mata kita. Mata kita boleh bercakap tau…hehe…

Anak akan lebih selesa bila kita berdiri sama tinggi. Mereka akan rasa yang mereka bukannya kena hukum.

5. Mulakan dengan pujian

Walau apa yang kita nak marahkan sekalipun, atau nak tegur, mulakan dulu dengan pujian. Puji apa yang anak kita buat bagus.

Contoh:

“Rajin abang tolong ummi bawak cawan air ke depan. Ummi happy sangat abang nak tolong. Tapi, abang kecil lagi, tangan abang belum kuat untuk bawa benda berat. Sebab tu tumpah”

Tapi, pastikan ia berakhir dengan kesannya.

“Sebab abang dah tumpahkan air, abang kena lap dan bersihkan ye. Jom ummi tunjukkan”.

Kita perlu tunjuk macam mana nak buat, bukan marah-marah cakap salah, salah je. Tunjukkan macam mana cara yang betul.

6. Pelukan

Bila kita peluk anak, memang marah kita akan reda terus. Anak pun tenang, kita pun akan lebih tenang. Masa tu la kita boleh cakap elok-elok.

.

Kita kena mula fikir dari sudut dan perspektif anak kita. Kita kena tahu dan sedar yang anak kita masih belum tahu banyak perkara. Jadi, kita tak bolehlah nak marah anak kita sebab mereka masih belum waras, betul kan?

Kita la yang tak waras kalau kita yang tak dapat kawal marah kita. Kita la yang pentingkan diri kalau kita fikir yang anak kita wajib buat apa yang kita suruh.

Kita ubahlah diri kita, demi perkembangan emosi yang baik anak-anak kita. Masih belum terlambat untuk melakukannya.

Love,

Syu Amir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.